Thursday, November 17, 2011

SeJeRNiH AiR...

Assalamualaikum wbt...

Sekadar perkongsian buat kita bersama...



* Hari ini sebelum kamu mengatakan kata-kata yang tidak baik,
fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berbicara sama sekali.


* Sebelum kamu mengeluh tentang rasa dari makananmu,

fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk makanan.


* Sebelum kamu mengeluh tidak punya apa-apa,
fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.


* Sebelum kamu mengeluh bahawa kamu buruk,
fikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat yang terburuk dalam hidupnya.


* Sebelum kamu mengeluh tentang pasangan hidupmu,

fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.


* Hari ini sebelum kamu mengeluh tentang hidupmu,

fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

* Sebelum kamu mengeluh tentang anak-anakmu,

fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi tidak mampu
melahirkan.

* Sebelum kamu mengeluh tentang rumahmu yang tidak cantik atau mewah,

fikirkan tentang orang-orang yang tinggal di jalanan.


* Disaat kamu lelah dan mengeluh tentang pekerjaanmu,
fikirkan tentang pengangguran,orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan.

* Sebelum kamu menuding jari menyalahkan orang lain,

fikirkan bahawa tidak ada seorang pun yang tidak berdosa.


* Dan ketika kamu sedang bersedih dan hidupmu dalam kesusahan,

tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kamu masih hidup.


" Bersyukurlah kepada-Ku, nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku. Namun barangsiapa yang ingkar, sesungguhnya azab-Ku amat pedih."


************************

Monday, July 11, 2011

Menangis yang dituntut syariat...


Assalamualaikum w.b.t...

Kata Ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi dengan tangis dan diakhiri dengan tangis.


Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini,menangis adalah dituntut. Setitis air mata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.


Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah daripada tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda : "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takabbur."
Anas r.a berkata : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu Baginda bersabda dalam khutbahnya: "Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata; Seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh pada zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat, tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah. orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para nabi dan Rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Akan tetapi, bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.



Menangis dan menangislah, tetapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan dalam agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total...! jadi, kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) bin 'Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w : "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajipan kepada Allah." (Riwayat at-Tirmizi)

**********************************************

Sunday, July 10, 2011

Tolong Beritahu Si Dia...






Tolong beritahu si dia...
Aku ada pesanan buatnya...


Tolong beritahu si dia...

Cinta yang agung adalah cinta-Nya...

Tolong beritahu si dia...

Cinta manusia bakal membuatnya alpa...


Tolong nasihati si dia...
Jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa... Tolong nasihati si dia...
jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa...

Tolong nasihati si dia...

jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya...


Tolong katakan pada si dia...

dahulukan Allah kerana di situ ada syurga...

Tolong katakan pada si dia...

dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya...



Tolong ingatkan si dia...
aku terpikat kerana imannya, bukan rupa...
Tolong ingatkan si dia...

aku lebih cintakan zuhudnya, bukan harta...
Tolong ingatkan si dia...
aku kasihinya kerana santunnya...
Tolong tegur si dia...
bila dia mula mengagungkan cinta manusia...
Tolong tegur si dia...
bila dia mula tenggelam dalam angan-angannya...
Tolong tegur si dia...
andai nafsu mengawal fikirannya...


Tolong sedarkan si dia...
aku milik Yang Maha Esa...
Tolong sedarkan si dia...
aku masih milik keluarga...
Tolong sedarkan si dia...
tanggungjawabnya besar pada keluarganya...

Tolong sabarkan si dia...
andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta... Tolong sabarkan si dia...
bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya...



Tolong pesan padanya...
aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya...

Tolong pesan padanya...
aku tak mahu menjadi punca kegagalannya...
Tolong pesan padanya...
aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya...

Tolong khabarkan pada si dia...

aku tak mahu melekakan dia...
Tolong khabarkan pada si dia...

aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya...
Tolong khabarkan pada si dia...
jadilah penyokong dalam kejayaanku...

Tolong sampaikan pada si dia...
aku mendambakan cinta suci yang terjaga...
Tolong sampaikan pada si dia...
cinta kerana Allah tidak ternilai harganya...
Tolong sampaikan pada si dia...
hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa...


Tolong sampaikan pada si dia...
kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

CINTA...
Lahirnya dari dua hati...
Hadirnya tanpa dipaksa...
Ya Allah Ya Tuhanku,
Telah datang padaku seorang insan yang mengetuk pintu hati... Sekiranya dia adalah jodohku yang terbaik...
Yang telah Engkau tetapkan buatku,
sejak dari kandungan ibuku lagi...
Maka,permudahkanlah urusanku,
permudahkanlah urusannya...

dan permudahkanlah urusan kami berdua...

Ya Allah...Ya Rahman...Ya Rahim...
Lindungilah imanku...
Lindungilah iman dia...

dan lindungilah iman kami berdua sepanjang perhubungan ini...


Cinta,
Karya indah sang Pencipta...
Dimulakan di syurga...
Dimasukkan dalam jiwa Adam dan Hawa...
Lalu dianak-pinakkan ke setiap jiwa dengan kadar berbeza...
Cinta sebenarnya tidak buta...
Cinta adalah sesuatu yang murni,luhur dan diperlukan

Yang buta adalah,bila cinta menguasai dirimu..

tanpa suatu pertimbangan...

Cinta,menyintai atau dicintai itu adalah lumrah
sifat kejadian manusia...

Hak untuk bercinta dan menerima
bergantung kepada individu itu sendiri...

Pilihan adalah terpulang kepada kita,

Jika pilihan berlandaskan agama, pasti hasilnya diberkati...
Dan sekiranya berlandaskan nafsu,
pasti akan terhumban ke lembah kehinaan...

Saturday, July 2, 2011

Kebaktian Yang Paling Dicintai Allah...


Assalamualaikum...

Berbakti kepada IBU BAPA itu adalah wajib (Fardhu ain di mana lebih utama daripada amalan fardhu kifayah). Ia lebih utama daripada :

1. Jihad fi sabilillah.
Abdullah ibnu Mas'ud berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang pekerjaan yang paling dicintai Allah, lalu Baginda menjawab, "Solat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa?" baginda menjawab, "Berbakti kepada orang tua." Aku betanya lagi, "Kemudia apa?" baginda menjawab, "Jihad di jalan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Urutan pada hadis-hadis ini menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua-dua orang tua itu lebih utama daripada jihad fi sabilillah.

2. Taat kepada isteri dan kawan.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Saiyidina Ali, "Apabila umatku melakukan 15 perbuatan ini, maka mereka akan ditimpa musibah yang besar. Salah satunya adalah seorang lelaki yang mentaati isterinya tapi menderhakai ibunya serta berbuat baik kepada temannya, namun bersikap buruk kepada ayahnya." (Riwayat Tirmizi)

Imam Ahmad dan Nasa'i meriwayatkan dari Aishah yang bertanya kepada nabi s.a.w, "Siapakah orang yang paling berhak atas diri seorang wanita?" Nabi s.a.w menjawab, "Suaminya," Aishah bertanya lagi, "Siapakah yang paling berhak ke atas diri seorang lelaki?" Nabi s.a.w menjawab, "Ibunya." (Riwayat Hakim)

3. Ibadah haji dan umrah.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Seorang hamba sahaya yang berbuat baik baginya dua pahala. Demi yang jiwa Abu Hurairah berada di dalam kekuasaan-Ny. Kalau buka kerana berjihad di jalan Allah, Haji dan berbakti kepada ibuku; sungguh aku lebih menyukai mati sebagai hamba sahaya."

Abu Hurairah r.a tidak pernah pergi haji sebelum ibunya meninggal dunia. Hal itu ia lakukan kerana besarnya penghormatan dan baktinya kepada ibunya.

4. Menziarahi Nabi s.a.w.
Ada seorang sahabat bernama Uwais al-Qarni yang tidak sempat berkunjung berjumpa nabi s.a.w semata-mata kerana sibuk mengurus ibunya. Walaupun tidak berjumpa tetapi Rasulullah s.a.w tetap mengenalinya. Malah baginda berpesan kepada Saiyidina Umar r.a agar mencari Uwais dan meminta Uwais berdoa untuknya. Ini kerana doa Uwais adalah mustajab.

Sabda Rasulullah s.a.w : "
Akan datang seorang bernama Uwais bersama sekelompok orang Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qarn. Dia pernah ditimpa penyakit kusta lalu dia sembuh darinya kecuali masih tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan dia sangat berbakti kepadanya. kalau dia bersumpah atas nama Allah pasti dia akan memenuhinya. Bila engkau dapat (berjumpanya) mintalah agar dia berdoa kepada Allah memohon keampunan untukmu. " (Riwayat Muslim)

Oleh sebab itu, setiap kali musim haji Saiyidina Umar sentiasa bertanyakan tentang Uwais daripada rombongan dari Yaman. Akhirnya beliau berjaya bertemu Uwais dan meminta doanya.

5. Mencintai anak.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari sebuah hadis dari Ibnu Umar r.a tentang tiga orang sahabat yang terperangkap dalam sebuah gua. sebungkah batu yang besar jatuh dari atas gunung telah menutup pintu gua tersebut. Setelah gagal menolak batu besar itu sebagai ikhtiar, mereka berpakat untuk berdoa kepada Allah dengan bertawassul pada amal masing-masing.

Diringkaskan cerita, salah seorang daripada mereka berdoa: :"Ya Allah, aku dahulu mempunyai orang tua dan aku selalu memberi mereka minum lebih dahulu daripada anak dan isteriku. Pada suatu hari setelah jauh mencari kayu api maka aku pulang larut malam. Aku siapkan minuman susu untuk orang tuaku namun mereka sudah tertidur. Aku menunggu mereka bangun sehingga terbit fajar, padahal anakku meratap di kakiku minta diberikan minuman susu itu. Setelah orang tuaku bangun, barulah aku beri mereka minum, lalu kemudiannya anak-anakku. Kalau memang apa yang aku lakukan itu untuk memohon redha-Mu Ya Allah, tolonglah kami keluar dari kesusahan ini."

Ternyata sikapnya mengutamakan orang tua daripada anak sendiri adalah tepat dan benar. Ini terbukti apabila Allah perkenankan batu tersebut bergerak sedikit, namun masih belum cukup maut untuk mereka keluar.

6. Solat sunat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a sebuah hadis panjang mengenai seorang pemuda Bani Israil bernama Juraij yang sangat taat beribadah. Tekunnya dia beribadah sehinggakan apabila ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap meneruskan solatnya tanpa menghiraukan panggilan ibunya. Ibunya terasa hati dan berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan biarkan dia mati sebelum berfikir tentang wanita-wanita nakal yang selalu melakukan perbuatan tercela."

Dipendekkan cerita, di akhir hayat Juraij difitnah melakukan zina dengan seorang wanita. Juraij dipukul dan rumah ibadahnya dirobohkan Bani Israil. Namun, dia akhirnya Allah selamatkan apabila bayi wanita itu dapat berkata-kata membela Juraij. Di akhir hadis tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya, jika Juraij mengetahui, nescaya dia akan menjawab panggilan ibunya."

Semoga daripada renungan yang diberikan ini, dapatlah kiranya kita sama-sama bermuhasabah atas apakah yang telah kita lakukan dan berikan pada kedua orang tua kita.



Wallahua'lam

**************************************

Saturday, June 25, 2011

hatiku Milik-Mu Ya Rabbi...




Puas sudah kucari kebahagiaan,
Di sisi teman-teman,

Kudapat hanya kelalaian.


Ku cari lagi,

Di hati seorang kekasih,

Kudapat hanya kekecewaan,

Dan kuterus mencari,

Dalam meniti hari yang penuh kekosongan.


Di mana lagi harus ku mencari,

Membawa sekeping hati,

yang sarat dengan kerinduan,

Rindu yang tiada haluan,

Daku keliru sendiri,

Apa yang kucari,
apa yang kuperlukan,

Daku masih tak bisa mengerti.



Sejenak ku tersedar,
Daku mencari cinta agung,

Buat jiwaku yang merindukan,

Hakikat kebenaran,

Cahaya yang membelah kegelapan,

Melimpah cemerlang mengisi kekosongan.


Ku sedar...

Destinasi pencarianku di sini,

Ku mencari-Mu Tuhan,

Mengharap keredhaan,

Menagih kebahagiaan,

Dari sinar cahaya iman...

Hakikat Penglihatan Manusia...

Al-Basir (Maha Melihat)

Assalamualaikum w.b.t
Untuk entri kali ini, ana ingin kongsikan sepotong doa yang mana jika dibac 100 kali sebelum solat jumaat, Allah S.W.T akan membuka mata hati dan fikirannya. InsyaAllah, mudah-mudahan...


...واتقواللة واعلموا أن اللة بما تعملون بصىر...

"...Bertakwalah kepada Allah S.W.T kerana Allah S.W.T Maha melihat apa yang kamu lakukan."

(Surah Al-Baqarah 2:233)



Sama halnya dengan pendengaran, penglihatan manusia juga sangat terbatas. Manusia hanya melihat apa yang terdapat di hadapannya sahaja dan tidak mampu melihat apa yang terdapat di belakang, di atas atau di bawah mereka kecuali dengan menghadapkan mata mereka ke arah depan, melihat ke tepi, ke kiri, ke kanan, ke atas atau ke bawah. Manusia juga tidak mampu melihat sesuatu yang terhalang oleh sesuatu misalnya di sebalik tembok, di dalam almari mahupun di bawah tempat tidur dan sebagainya. Dalam hal ini, pandangan manusia tidak mampu menembusinya.

Ketika seseorang manusia malihat bayangan benda, sesungguhnya semuanya berawal dari cahaya yang masuk ke mata. Cahaya itu ditangkap oleh kanta kemudian disampaikan ke retina mata lalu sesuatu benda yang terlihat itu disampaikan ke otak sehingga kita dapat menerima maklumat tentang sesuatu benda tersebut. Penglihatan manusia itu ternyata tidak bererti apa-apa jika tidak ada cahaya yang masuk ke mata. Pada hakikatnya manusia itu buta, sebelum ada cahaya yang diterimanya. Manusia dapat melihat bayangan apabila terdapat cahaya yang masuk ke dalam matanya. Secara rohani, bagaimana kita memahami proses penglihatan manusia itu??



Pada mulanya, manusia itu berada dalam kegelapan. Kegelapan itu adalah kebutaan dari petunjuk. Sementara itu, cahaya adalah petunjuk yang menerangi hati dan fikiran manusia sehingga manhusia dapat mengetahui jalan, mengetahui ke mana harus melangkah, dengan apa harus berpegangan dan sebagainya. Semua itu kerana terdapat cahaya yang menerangi hati manusia.


Demikianlah keterbatasan penglihatan manusia itu. Jika dibandingkan dengan penglihatan kucing, manusia akan kalah. Dalam kegelapan dan tempat yang agak bercahaya, kucing mampu melihat dengan jelas dan ia juga dapat melihat dalam tempat dengan cahaya yang amat terang. Mata kucing memiliki selaput pelangi atau iris yang membentuk celah pada mata yang menyempit. Dalam lingkungan dengan sedikit cahaya, kucing akan menggunakan sesuatu organ yang disebut dengan tapetum lucidum sehingga dalam lingkungan gelap sekalipun mata kucing tetap menyala.




Tiap-tiap jenis makhluk hidup itu diberi dengan kemampuan penglihatan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Sesuai dengan kemampuannya untuk bertahan hidup atau potensi yang akan digunakannya. Perbezaan mata manusia dengan mata kucing hanyalah satu bahagian kecil dari kemampuan yang diberikan Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Allah S.W.T tentunya sangat berbeza dengan penglihatan makhluk-Nya kerana Allah yang Maha Melihat pasti memiliki kesempurnaan penglihatan. Sesungguhnya, memang tidak dapat dibandingkan alat penglihatan manusia sebagai makhluk dengan Allah yang Maha Melihat...
Wallahua'lam...

******************************************

Wednesday, June 8, 2011

Jadilah Guru yanG Terbilang...!

Assalamualaikum...

Insan bergelar guru menyandang tugas dan tanggungjawab besar sebagai pendidik bangsa.Guru memberi inspirasi dan keyakinan diri yang tidak ternilai buat anak didik.Begitu besar peranan guru hinggakan mampu merubah dunia...


Entri kali ni ana tujukan khas buat kawan2 ana yang sedang menjalani latihan mengajar atau lbih saintifiknyer praktikum...hehe...Moga-moga latihan yang sedang kita tempuhi ni menjadi platform bagi kita mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum benar-benar menjadi seorang pendidik kelak...InsyaAllah... ^_^


**********************************

Peribadi Guru Berdedikasi Menurut Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni :

# Menjadi contoh yang baik kepada murid2nya,teladan yang baik,mencintai mereka dan seterusnya dihormati.

# Tidak bersifat keras,kasar,dingin dan suka marah.Namun,selalu lembut dan menyayangi murid-muridnya.

# Memiliki jiwa yang membara,perhatian kepada murid2nya,bersemangat dalam menyampaikan apa yang dikatakannya dan menjauhi sikap cuai,acuh tak acuh.


# Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau serta tidak melontarkan perkataan yang tidak penting bahkan keji.Sebaliknya,memiliki tutur kata yang lembut,menyejukkan hati dan lisan yang bersih.



Guru Sebagai Mentor...

i) Membuat persiapan mengajar dan memberi sepenuh perhatian terhadap peningkatan pengetahuan dan ilmu murid2nya.

ii) Pakar dalam bidangnya,menonjol dalam disiplin ilmunya dan sangat menguasainya.

iii) Banyak melakukan penyelidikan,luas pengetahuannya dan memahami budaya zamannya dan permasalahan umatnya.

iv) Selalu hadir dalam majlis2 ilmu, menepati waktu dan bersistematik dalam urusannya.

v) Menjauhi permasalahan yang meragukan,meninggalkan segala bentuk akhlak yang tercela dan berakhlak terpuji.


Mudah2an info ini memberi serba sedikit ilmu yang bermanfaat untuk perkongsian bersama...wallahua'lam... :)

***************************************

Friday, February 4, 2011

SaYA YaNg SEdAr DiRi...

Saya sedar bahawa,
Semua yang berlaku itu ada HIKMAHnya,
Yakinlah dengan hakikat ini...


Saya sedar bahawa,
SIKAP yang membentuk peribadi,
Peribadi yang menghasilkan kejayaan...

Saya sedar bahawa,
ILMU Tuhan tiada penghujungnya,
Terpulanglah pada kita untuk menuntutnya...



Saya sedar bahawa,
Tiada guna segala kemewahan,
Jika hati tiada keIMANan...



Saya sedar bahawa,
Perniagaan saya adalah TANGGUNGJAWAB saya,
Sayalah yang harus memajukannya...

Saya sedar bahawa,
Kekayaan tidak akan datang,
Tanpa USAHA yang gigih dan berterusan...



Saya juga sedar bahawa,
Diri belum cukup mantap,
Tanpa keSABARan yang hakiki...



Saya sedar bahawa,
Memberi memanglah baik,
Tetapi biarlah dengan IKHLAS...



Saya sedar bahawa,
MASA mampu menjadi emas,
Bagi mereka yang tahu menghargainya...



Saya sedar bahawa,
Tiada guna menuntut ILMU,
Jika tiada niat untuk mengAMALkannya...

Renungan kita bersama.Wallahua'lam...

Wednesday, February 2, 2011

iSTighFAr MeNGgoNCanG KeRAjAan IBLis...

Assalamualaikum wbt...

Sekadar perkongsian kita bersama..Di samping zikir dan doa yang menjadi jalan bagi mendekatkan diri kepada Allah, istighfar juga adalah usaha memahami hakikat kebesaran Allah dan hakikat kerdilnya kita selaku insan ciptaan-Nya...


Istighfar adalah memohon keampunan bagi segala dosa dan kesalahan. Jika dosa dan perbuatan yang kita lakukan itu termasuk dosa besar, di samping beristighfar kita juga perlu bertaubat kerana istighfar dan taubat selalu berkaitan antara satu sama lain.
Kita hendaklah beristighfar apabila rasa ada dosa-dosa kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan, baik secara sengaja mahupun tidak disengajakan. Itulah sebenarnya orang-orang yang beriman. Mereka selalu mengingati Allah dan memohon keampunan daripada kesilapan-kesilapan kecil sehingga tidak terdorong melakukan kesilapan dan dosa yang lebih besar. Subhanallah...! Mereka juga sentiasa ingat kepada Allah dalam apa jua perkara yang diusahakan.


Istighfar dapat :


#
Melembutkan fikran dan jiwa individu.


#
Menghindarkan seseorang daripada terlanjur melakukan kesalahan, menyalahkan orang lain dan menyebut perkataan dan ucapan yang tidak baik.


#
Selalu menyebut nama-nama Allah dan terus m
emohon keampunan Allah.

#
Yakin bahawa Allah menerima setiap permohonan dan taubat hamba-Nya yang benar-benar ingin bermunajat dan bertaubat kepada Allah yang maha penyayang.

Kesempatan istighfar selalu terbuka kerana keampunan dan kasih sayang Allah itu terlalu luas. Istighfar dapat menghapuskan dosa sebagaimana pernyataan Allah dalam surah An-Nisa' ayat 110 yang bermaksud :

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha pengampun lagi maha penyayang."


Berapa banyak dosa sekalipun, jika kita mengharapkan keampunannya Allah akan mengampunkannya selagi tidak menyekutukannya. Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang dinyatakan oleh Tirmizi,


"Anas r.a mengkhabarkan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah telah berfirman, 'Hai bani Adam, selama engkau berdoa dan mengharap kepadaku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daripada kamu. Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau minta ampun kepadaku, Aku ampunkan bagimu.Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, seandainya engkau datang kepadaku dengan membawa dosa sepenuh bumi, asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku isi semua itu dengan pengampunan.'


Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa beristighfar dan memohon keampunan atas setiap kesalahan kita. Bersamalah kita melakukan anjakan paradigma dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih hasanah...

Wallahua'lam...

Monday, January 31, 2011

KiSaH PeNGuRuS, ANaK & SeORanG iBu...

Assalamualaikum w.b.t...

Entri kali ni ana nak berkongsi satu kisah yang ana tebaca dalam laman iluvislam. Kisah yang dipaparkan ringkas tetapi punya iktibar yang amat mendalam bagi ana, menginsafkan dan menyedarkan ana betapa hebat jasa seorang insan yang dipanggil IBU,MA
K,UMI, dan juga MAMA...

*****************************
Pada satu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati salah seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehingga pengajiannya di universiti. Setiap semester dia memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
"Tidak." Jawab gadis tersebut.

Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi,adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"

Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal dunia semasa saya berumur satu tahun. Ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian."

Pengurus itu meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?"

"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya lantas dia menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja rumah.
Pengurus berasa hairan lantas bertanya, "Tidakkah awak pernah membantu ibu awak mencuci pakaian dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu saya selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolo
ngnya membasuh pakaian. lagi pula ibu membasuh lebih cepat daripada saya.

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis tersebut pulang ke rumah nanti, dan berjumpa semula dengannya pada keesokan hari.


Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersihkan tangan ibunya. Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya lantas menghulurkan kedua-dua tangannya.

Gadis itu membersih
kan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kusut dan terdapat banyak kesan calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air.

Lama-kelamaan, gadis tersebut menyedari bahawa tangan inilah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti. Calar balar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemelang dan demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis tersebut secara senyap-senyap mencuci pa
kaian ibunya yang masih berbaki.

Keesokan harinya, gadis tersebut kembali semula ke pejabat. Pengurus itu menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya, "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"

Gadis itu menjawab, "Saya membersihkan tangan ibu saya dan mencuci baki pakaian yang masih tertinggal."


"Apa yang anda rasa?"

Jawab gadis itu, "Pertama, saya sedar apa itu erti pengorbanan seorang ibu. Tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mencari wang
untuk hidup. ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Inilah yang saya mahukan. Saya mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain, dan tidak meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."


Pengajaran dari cerita ini, kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang telah banyak bekorban dan bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak. Ringan-ringankanlah diri kita untuk membantu ibu dan ayah kita serta curahkanlah bakti k
epada mereka selagi kita berpeluang melakukannya di dunia ini. Hargailah dan sayangilah mereka sebagaimana kasih dan sayang mereka kepada kita.

Sayang mak sangat sangat...syukran atas segala jasa dan pengorbananmu...

wallahua'lam...

Tuesday, January 18, 2011

MenTAfSiR DiRi...


" Barangsiapa menghafal TUJUH kalimat, ia dipandang mulia di sisi Allah dan malaikat... "

1. Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.


2. Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu kerja.


3. Mengucap 'astaghfirullah' jika lidah terselit perkataan yang tidak sepatutnya disebut.


4. Mengucap 'InsyaAllah' jika merancang membuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap 'la haula wala kuwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi raji'uun' jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap 'La ilaha illallah Muhammadu Rasulullah' sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat walau lambat-lambat, mudah-mudahan selalu walau sambil lalu, mudah-mudahan bisa kerana sudah biasa...

wallahua'lam...

Thursday, January 6, 2011

KeMBaLi PuLAnG... =)

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan pada yang Esa...atas rahmat dan nikmat-Nya jua ana masih lagi dapat meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini dalam tahun 2011...Moga-moga nikmat usia yang diberi ini dapat ana gunakan sebaiknya sebelum dijemput kembali oleh-Nya...insyaAllah...

Hari ni dah masuk 15 hari ana mulakan balik life ana di dunia kampus...sedar tak sedar, dah masuk sem 6 pun...makin jadi senior,makin banyak cabaran, makin banyak eseimen, dan makin menggigil dengan latihan ilmiah..!aishhh...habis sem ni pula, ana akan memulakan praktikum di sekolah slama 4 bulan...adoii, napa rase tak ready je nii....huhuhu..~

Buat masa ni, tak banyak yang boleh ana ceritakan lagi tentang life kat sini sebab baru je mula kan...Tapi rutin harian tu macam biasa la dengan kuliah, meeting dan program2 yang len...hehe..~ InsyaAllah, sem ini mahu cuba tingkatkan prestasi dan kualiti!! *_^

Bila masuk je tahun baru, of course la tahun lame tu jadi memori kan?? macam2 kenangan la tesemat, tesimpan, tepahat, dan macam2 lagi 'te' la yang tak boleh kita lupakan...dalam banyak2 tu ada yang manis, pahit, kelat, dan rasa2 seumpama dengannye lah..Apa pun peristiwa yang telah tejadi, mana yang manis kita jadikanlah ia kenangan indah dan mana yang pahit tu jadikanlah panduan serta pengajaran pada kita agar ia tak berulang lagi...

Macam apa yang ana lalui, rasanya sungguh banyak kenangan2 manis yang takkan ana lupa.Macam2 perkara baru dan ta berapa baru yang ana cube. Sampai hujung sem tu pun, sahabat2 seangkatan ana telalu 'ghairah' nak wat aktiviti..! Memang seronok, kalau boleh rewind macam dalam cite2 kt tv tu memang dah wat dah... :))

Kat bawah ni serba sedikit pic yang diambil semasa ana mengikuti aktiviti yang dibuat... :

Lawatan ke Parlimen Malaysia untuk pelajar kursus Perlembagaan Malaysia....



Kem Pemantapan Rakan Exco UKLK




Kembara Jejak Mat Kilau ( Ulu Slim - Raub )

Ni la sikit sbanyak kenangan ana dalam sem 5...Semoga sem 6 ni bakal memberi lebih banyak memori undah...tak mau dah yang pahit2..

InsyaAllah... (^_*)