Wednesday, February 2, 2011

iSTighFAr MeNGgoNCanG KeRAjAan IBLis...

Assalamualaikum wbt...

Sekadar perkongsian kita bersama..Di samping zikir dan doa yang menjadi jalan bagi mendekatkan diri kepada Allah, istighfar juga adalah usaha memahami hakikat kebesaran Allah dan hakikat kerdilnya kita selaku insan ciptaan-Nya...


Istighfar adalah memohon keampunan bagi segala dosa dan kesalahan. Jika dosa dan perbuatan yang kita lakukan itu termasuk dosa besar, di samping beristighfar kita juga perlu bertaubat kerana istighfar dan taubat selalu berkaitan antara satu sama lain.
Kita hendaklah beristighfar apabila rasa ada dosa-dosa kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan, baik secara sengaja mahupun tidak disengajakan. Itulah sebenarnya orang-orang yang beriman. Mereka selalu mengingati Allah dan memohon keampunan daripada kesilapan-kesilapan kecil sehingga tidak terdorong melakukan kesilapan dan dosa yang lebih besar. Subhanallah...! Mereka juga sentiasa ingat kepada Allah dalam apa jua perkara yang diusahakan.


Istighfar dapat :


#
Melembutkan fikran dan jiwa individu.


#
Menghindarkan seseorang daripada terlanjur melakukan kesalahan, menyalahkan orang lain dan menyebut perkataan dan ucapan yang tidak baik.


#
Selalu menyebut nama-nama Allah dan terus m
emohon keampunan Allah.

#
Yakin bahawa Allah menerima setiap permohonan dan taubat hamba-Nya yang benar-benar ingin bermunajat dan bertaubat kepada Allah yang maha penyayang.

Kesempatan istighfar selalu terbuka kerana keampunan dan kasih sayang Allah itu terlalu luas. Istighfar dapat menghapuskan dosa sebagaimana pernyataan Allah dalam surah An-Nisa' ayat 110 yang bermaksud :

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha pengampun lagi maha penyayang."


Berapa banyak dosa sekalipun, jika kita mengharapkan keampunannya Allah akan mengampunkannya selagi tidak menyekutukannya. Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang dinyatakan oleh Tirmizi,


"Anas r.a mengkhabarkan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah telah berfirman, 'Hai bani Adam, selama engkau berdoa dan mengharap kepadaku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daripada kamu. Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau minta ampun kepadaku, Aku ampunkan bagimu.Dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, seandainya engkau datang kepadaku dengan membawa dosa sepenuh bumi, asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku isi semua itu dengan pengampunan.'


Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa beristighfar dan memohon keampunan atas setiap kesalahan kita. Bersamalah kita melakukan anjakan paradigma dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih hasanah...

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment