Entri kali ni ana nak berkongsi satu kisah yang ana tebaca dalam laman iluvislam. Kisah yang dipaparkan ringkas tetapi punya iktibar yang amat mendalam bagi ana, menginsafkan dan menyedarkan ana betapa hebat jasa seorang insan yang dipanggil IBU,MAK,UMI, dan juga MAMA...
Pada satu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati salah seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehingga pengajiannya di universiti. Setiap semester dia memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
"Tidak." Jawab gadis tersebut.
Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi,adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal dunia semasa saya berumur satu tahun. Ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian."
Pengurus itu meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?"
"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya lantas dia menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja rumah. Pengurus berasa hairan lantas bertanya, "Tidakkah awak pernah membantu ibu awak mencuci pakaian dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu saya selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. lagi pula ibu membasuh lebih cepat daripada saya.
Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis tersebut pulang ke rumah nanti, dan berjumpa semula dengannya pada keesokan hari.
Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersihkan tangan ibunya. Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya lantas menghulurkan kedua-dua tangannya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kusut dan terdapat banyak kesan calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air.
Lama-kelamaan, gadis tersebut menyedari bahawa tangan inilah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti. Calar balar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemelang dan demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis tersebut secara senyap-senyap mencuci pakaian ibunya yang masih berbaki.
Keesokan harinya, gadis tersebut kembali semula ke pejabat. Pengurus itu menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya, "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"
Gadis itu menjawab, "Saya membersihkan tangan ibu saya dan mencuci baki pakaian yang masih tertinggal."
"Apa yang anda rasa?"
Jawab gadis itu, "Pertama, saya sedar apa itu erti pengorbanan seorang ibu. Tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mencari wang untuk hidup. ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."
Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Inilah yang saya mahukan. Saya mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain, dan tidak meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Pengajaran dari cerita ini, kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang telah banyak bekorban dan bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak. Ringan-ringankanlah diri kita untuk membantu ibu dan ayah kita serta curahkanlah bakti kepada mereka selagi kita berpeluang melakukannya di dunia ini. Hargailah dan sayangilah mereka sebagaimana kasih dan sayang mereka kepada kita.
Sayang mak sangat sangat...syukran atas segala jasa dan pengorbananmu...
wallahua'lam...
wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment