Saturday, July 2, 2011

Kebaktian Yang Paling Dicintai Allah...


Assalamualaikum...

Berbakti kepada IBU BAPA itu adalah wajib (Fardhu ain di mana lebih utama daripada amalan fardhu kifayah). Ia lebih utama daripada :

1. Jihad fi sabilillah.
Abdullah ibnu Mas'ud berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang pekerjaan yang paling dicintai Allah, lalu Baginda menjawab, "Solat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa?" baginda menjawab, "Berbakti kepada orang tua." Aku betanya lagi, "Kemudia apa?" baginda menjawab, "Jihad di jalan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Urutan pada hadis-hadis ini menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua-dua orang tua itu lebih utama daripada jihad fi sabilillah.

2. Taat kepada isteri dan kawan.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Saiyidina Ali, "Apabila umatku melakukan 15 perbuatan ini, maka mereka akan ditimpa musibah yang besar. Salah satunya adalah seorang lelaki yang mentaati isterinya tapi menderhakai ibunya serta berbuat baik kepada temannya, namun bersikap buruk kepada ayahnya." (Riwayat Tirmizi)

Imam Ahmad dan Nasa'i meriwayatkan dari Aishah yang bertanya kepada nabi s.a.w, "Siapakah orang yang paling berhak atas diri seorang wanita?" Nabi s.a.w menjawab, "Suaminya," Aishah bertanya lagi, "Siapakah yang paling berhak ke atas diri seorang lelaki?" Nabi s.a.w menjawab, "Ibunya." (Riwayat Hakim)

3. Ibadah haji dan umrah.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Seorang hamba sahaya yang berbuat baik baginya dua pahala. Demi yang jiwa Abu Hurairah berada di dalam kekuasaan-Ny. Kalau buka kerana berjihad di jalan Allah, Haji dan berbakti kepada ibuku; sungguh aku lebih menyukai mati sebagai hamba sahaya."

Abu Hurairah r.a tidak pernah pergi haji sebelum ibunya meninggal dunia. Hal itu ia lakukan kerana besarnya penghormatan dan baktinya kepada ibunya.

4. Menziarahi Nabi s.a.w.
Ada seorang sahabat bernama Uwais al-Qarni yang tidak sempat berkunjung berjumpa nabi s.a.w semata-mata kerana sibuk mengurus ibunya. Walaupun tidak berjumpa tetapi Rasulullah s.a.w tetap mengenalinya. Malah baginda berpesan kepada Saiyidina Umar r.a agar mencari Uwais dan meminta Uwais berdoa untuknya. Ini kerana doa Uwais adalah mustajab.

Sabda Rasulullah s.a.w : "
Akan datang seorang bernama Uwais bersama sekelompok orang Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qarn. Dia pernah ditimpa penyakit kusta lalu dia sembuh darinya kecuali masih tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan dia sangat berbakti kepadanya. kalau dia bersumpah atas nama Allah pasti dia akan memenuhinya. Bila engkau dapat (berjumpanya) mintalah agar dia berdoa kepada Allah memohon keampunan untukmu. " (Riwayat Muslim)

Oleh sebab itu, setiap kali musim haji Saiyidina Umar sentiasa bertanyakan tentang Uwais daripada rombongan dari Yaman. Akhirnya beliau berjaya bertemu Uwais dan meminta doanya.

5. Mencintai anak.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari sebuah hadis dari Ibnu Umar r.a tentang tiga orang sahabat yang terperangkap dalam sebuah gua. sebungkah batu yang besar jatuh dari atas gunung telah menutup pintu gua tersebut. Setelah gagal menolak batu besar itu sebagai ikhtiar, mereka berpakat untuk berdoa kepada Allah dengan bertawassul pada amal masing-masing.

Diringkaskan cerita, salah seorang daripada mereka berdoa: :"Ya Allah, aku dahulu mempunyai orang tua dan aku selalu memberi mereka minum lebih dahulu daripada anak dan isteriku. Pada suatu hari setelah jauh mencari kayu api maka aku pulang larut malam. Aku siapkan minuman susu untuk orang tuaku namun mereka sudah tertidur. Aku menunggu mereka bangun sehingga terbit fajar, padahal anakku meratap di kakiku minta diberikan minuman susu itu. Setelah orang tuaku bangun, barulah aku beri mereka minum, lalu kemudiannya anak-anakku. Kalau memang apa yang aku lakukan itu untuk memohon redha-Mu Ya Allah, tolonglah kami keluar dari kesusahan ini."

Ternyata sikapnya mengutamakan orang tua daripada anak sendiri adalah tepat dan benar. Ini terbukti apabila Allah perkenankan batu tersebut bergerak sedikit, namun masih belum cukup maut untuk mereka keluar.

6. Solat sunat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a sebuah hadis panjang mengenai seorang pemuda Bani Israil bernama Juraij yang sangat taat beribadah. Tekunnya dia beribadah sehinggakan apabila ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap meneruskan solatnya tanpa menghiraukan panggilan ibunya. Ibunya terasa hati dan berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan biarkan dia mati sebelum berfikir tentang wanita-wanita nakal yang selalu melakukan perbuatan tercela."

Dipendekkan cerita, di akhir hayat Juraij difitnah melakukan zina dengan seorang wanita. Juraij dipukul dan rumah ibadahnya dirobohkan Bani Israil. Namun, dia akhirnya Allah selamatkan apabila bayi wanita itu dapat berkata-kata membela Juraij. Di akhir hadis tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya, jika Juraij mengetahui, nescaya dia akan menjawab panggilan ibunya."

Semoga daripada renungan yang diberikan ini, dapatlah kiranya kita sama-sama bermuhasabah atas apakah yang telah kita lakukan dan berikan pada kedua orang tua kita.



Wallahua'lam

**************************************

No comments:

Post a Comment