Thursday, January 7, 2010

Kau pergi jua...

Assamualaikum w.b.t buat sahabat sekalian

Syukur ana panjatkan pada yang Maha Pencipta , Allah Tuhan yang satu kerana telah memberi peluang pada diri ini untuk bernafas dan melalui kehidupan di dunia yang sementara ini. Semakin bersyukur apabila masih diberi peluang menikmati kehidupan di tahun yang baru.

Namun, dalam kegembiraan dan kelelahan mengharungi kehidupan ini tidak ana jangka akan kehilangan insan yang ana sayangi. Seorang insan yang telah banyak berjasa dan berkorban masa dan tenaga menjaga ana adik beradik dengan curahan kasih sayangnya.

Tanggal 6 januari 2010 bersamaan 20 Muharram 1431 Hijrah , ana telah kehilangan nenekanda ana, Hajah Aishah binti Hj. Abdul Manas. Ana mendapat khabar pemergiannya ini daripada ibu ana melalui panggilan telefon kerana pada ketika itu ana berada di kediaman ana di kampus. Tidak dapat ana ungkapkan bagaimana perasaan ana ketika itu. Terlalu sedih ana dengan kehilangannya. Sehingga ke hari ini, ana mesih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Namun, walau apa pun, ana sekeluarga redha dengan pemergiannya. Sesungguhhnya, kita di dunia hanyalah sebagai tempat persinggahan mencari bekalan sebelum pulang ke akhirat yang kekal abadi. Hidup kita di dunia ini telah ditetapkan oleh Allah. Sampai masanya kita akan kembali kepada-Nya. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya jua kita pasti pulang.

Cuma ana sedih kerana tidak dapat berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Apatah lagi mendengar cerita ibu dimana sebelum arwah meninggal, dia sempat bertanya tentang ana dan adik saudara ana yang masih tidak ada di situ waktu itu. Arwah pada ana ibarat ibu kedua ana. Sejak dari kecil, ana dijaga dan diasuh olehnya apabila ibu dan ayah ana bekerja. Sehingga kini, apabila pulang bercuti ana akan ambil kesempatan tidur di rumahnya. kali terakhir ana berjumpa dengan opah ana iaitu hari ana ingin pulang ke kampus. Ketika ana mencium pipinya, arwah menitiskan air mata. Ana berasa hairan waktu itu, namun kini bila diingat kembali, hati ana betul-betul sebak.



Yang lebih ana risaukan dan bimbangkan ialah keadaan atok ana yang kini tinggal sendirian di rumah. Memikirkan dirinya yang juga kurang sihat, membuatkan ana kerap menitiskan air mata. Begitu murah rasanya air mata ini jatuh ke pipi. Walaupun rumah ana hanya bersebelahan, namun ana tahu atok ana tidak mungkin mahu meninggalkan rumahnya itu. Bagaimana dengan tidur malamnya? Jika dahulu ada teman bergurau, bergaduh, tapi kini...Ketika menggosok dan mengurut kakinya yang kebas semalam, kelopak mata ana sudah tidak mampu menampung air mata yang ingin jatuh saat itu. Namun ana tahan jua tak mahu dilihat olehnya. Biarpun nampak tabah, tetapi adakala dapat dilihat dia menyeka air matanya yang menitis.

Di sebalik semua kesedihan itu, ana tetap bersyukur dan berasa tenang tatkala menatap wajah arwah opah buat kali terakhir. Wajahnya cukup bersih dan tenang. Lagaknya seolah-olah sedang tidur dengan nyenyak.Tidak berubah sedikitpun. Ya Allah, kami redha dan lepaskan arwah pergi menemuimu Ya Allah. Doa kami sekeluarga, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Buat opah, terima kasih di atas segala jasa,pengorbanan dan kasih sayang yang telah opah berikan. Kami menyayangimu dan akan merinduimu hingga akhir hayat...



1 comment: