Wednesday, December 23, 2009

Cinta Allah

Cinta kepada Allah merupakan perkara yang paling tinggi sekali dan itulah tujuan kita yang terakhir. Kesempurnaan seorang manusia itu terletak dalam cinta kepada Allah. Cinta kepada Allah ini hendaklah menakluki dan menguasai hati manusia seluruhnya. Andainya tidak dapat seluruhnya, maka sekurang-kurangnya hati itu hendaklah cinta kepada Allah melebihi cinta kepada yang lain.
Sabda Nabi ;
" Belum sempurna iman seseorang itu hingga ia mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain"
Selain itu,terdapat juga satu doa yang telah diajar oleh Nabi kepada sahabatnya;
"Ya Allah,kurniakanlah kepadaku cinta terhadap-Mu dan cinta kepada mereka yang mencintai-Mu, dan apa-apa saja yang membawa aku hampir kepada cinta-Mu. Dan jadikanlah cinta-Mu itu lebih berharga kepadaku dari air sejuk kepada orang yang dahaga."
Demikianlah indahnya cinta Allah, yang seharusnya wujud dan tertanam dalam hati setiap hamba-Nya. Tidak dapat dinafikan, setiap makhluk di dunia mempunyai rasa cinta mencintai dalam hati mereka. Cinta dapatlah ditakrifkan sebagai kecenderungan kepada sesuatu yang seronok dan nyaman. Kenyataan ini dapat dibuktikan dengan lima pancaindera kita yang setiap satunya mencintai apa yang memberi keseronokan atau kepuasan. Mata cinta kepada benda yang indah, telinga cinta kepada bunyi yang merdu dan sebagainya. Namun, terdapat deria yang keenam atau keupayaan pandangan yang letaknya di dalam hati. Melalui inilah kita mengenal keindahan dan keagungan kerohanian.
Orang yang memandang atau meletakkan cinta itu pada yang zahir akan mengatakan kecantikan itu terletak pada keindahan rupa bentuk yang dilihat pada mata kasarnya. Hakikat sebenarnya orang sebegini buta kepada kecantikan akhlak dan keperibadian yang hakikatnya lebih indah daripada kecantikan zahir. Apabila kita gunakan perinsip ini terhadap cinta kepada Allah, maka kita akan dapati bahawa Dia sajalah sepatutnya kita Cinta. Mereka yang tidak Mencintai Allah itu ialah kerana mereka tidak Mengenal Allah itu. Apa sahaja yang kita cinta kepada seseorang itu, kita cintai kerana itu adalah bayangan Allah. Kerana inilah kita cinta kepada Muhammad (S.W.T.) kerana baginda adalah Rasul dan kekasih Allah; dan cinta kepada orang-orang alim dan orang-orang warak itu adalah sebenarnya cinta kepada Allah.
Antara sebab yang boleh menyemarakkan cinta :
  1. Seseorang itu menyempurnakan cintanya terhadap diri sendiri dan secara langsung menuju kepada cinta Allah.
  2. Manusia itu cinta kepada orang yang menolong dan memberi kurniaan kepada dirinya. Maka,hakikatnya yang memberi pertolongan serta apa sahaja niat serta keinginan yang baik adalah daripada Allah SWT.
  3. Cinta yang ditimbulkan dengan cara renungan atau tafakur tentang sifat-sifat Allah, kuasa dan kebijaksanaannya.
  4. Cinta merupakan perkaitan rapat antara manusia dengan Tuhan, yang dimaksudkan oleh nabi dalam sabdanya,

" Sesungguhnya Allah jadikan manusia menurut bayangan-Nya."

Firman Allah kepada Nabi Daud ;

" Hamba yang paling aku cintai ialah mereka yang mencari Aku, bukan kerana takut akan hukum-Ku atau hendakkan kurniaan-Ku, tetapi adalah semata-mata Aku ini Tuhan."

Sama-samalah kita meluaskan rasa cinta kita kepada telah mencipta kita dengan segala kesempurnaan. Sesungguhnya, cintaku ini hanyalah untuk-Mu, Ya Allah...

No comments:

Post a Comment