Tuesday, December 15, 2009

Bentengi Iman dengan 5 kekuatan...

Sebutir biji benih yang disemai dan diharapkan tumbuh membesar dan berbuah mestilah dipagari daripada serangan musuh yang mampu merosakkan semaian. Begitulah diibaratkan iman kita. Setelah berusaha mencari dan menyuburkannya, haruslah kita mengawal dan membentenginya daripada serangan dan anasir-anasir yang boleh merosakkannya. Tanpa pagar atau benteng yang kukuh, iman pastinya terancam daripada musuh iaitu nafsu dan syaitan. Menurut Imam As-Syafie, iman haruslah dibentengi dengan 5 kekuatan :
  1. Yakin

Benteng yang terpenting dalam menjamin sahnya iman individu tersebut. Dalam hal ini, perkara yang perlu diyakini adalah rukun iman yang enam dan segala yang berkaitan dengannya. tiada keyakinan terhadap satu perkara boleh merosakkan iman. Oleh itu, kita perlu berusaha dalam menyuburkan keyakinan diri melalui ilmu pengetahuan khusunya ilmi tauhid dan belajar melawan keraguan yang boleh menggoyahkan keyakinan kita.

2. Ikhlas

Ikhlas menjadi penentu dalam penerimaan amalan kita oleh Allah SWT. Apabila kita ikhlas, Allah akan menerima segala amalan yang dilakukan. Ikhlas adalah meniatkan sesuatu yang dilakukan ataupun ditinggalkan kerana Allah. Hakikatnya, ikhlas adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.

Namun,Islam membuat garis panduan bagi mengukur hati dan membentuk diri supaya benar-benar ikhlas. Bagi orang yang ikhlas, mereka tidak mengharapkan sesuatu melainkan keredhaan Allah. Pandangan dan pujian manusia tidak diendahkan sama sekali. Itulah tanda ikhlas

3. Mengerjakan amalan sunat

Amalan sunat seperti solat sunat, membaca Al-Quran dan bersedekah hendaklah diamalkan bagi menguatkan iman. Amalan sunat ini dapat mengemaskan dan melengkapkan amalan wajib yang dilakukan. Dalam melaksanakannya,perlu diingat janganlah mengabaikan dan melalaikan amalan wajib yang dilakukan sebagai seorang muslim.

4. Istiqamah beramal

Beristiqamah atau sikap tetap beramal perlu ada dalam diri individu bagi mengawal imannya daripada dicemari oleh musuh-musuh iman. Perkara penting dalam beramal adalah mengekalkan amalan itu yakni istiqamah walaupun sedikit. Sabda Nabi, "sebaik-baik amalan itu adalah amalan yang kekal walaupun sedikit."

Dalam hadis Qudsi, Allah menyatakan, "Hai hambaku, mengapa kamu berasa jemu beramal sedangkan Aku tidak pernah jemu memberi pahala kepadamu." Juteru, banyakkanlah melakukan amal ibadah walaupun sedikit kerana kita tidak tahu amalan yang mana dinilai oleh Allah.

5. Disiplin

Dalam beribadah, tatasusila serta tertib haruslah dijaga kerana itu merupakan adab melakukan ibadah kepada Allah. Perkara ini harus diberi perhatian dan diambil berat keran ulama tasawwuf sepakat mengatakan, " Yang banyak menjauhkan hamba itu daripada Allah bukan kerana tidak cukupnya ilmu dan amal, tetapi kerana kurangnya adab dalam melaksanakannya."

wallahua'lam

No comments:

Post a Comment