Monday, July 11, 2011

Menangis yang dituntut syariat...


Assalamualaikum w.b.t...

Kata Ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi dengan tangis dan diakhiri dengan tangis.


Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini,menangis adalah dituntut. Setitis air mata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.


Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah daripada tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda : "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takabbur."
Anas r.a berkata : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu Baginda bersabda dalam khutbahnya: "Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata; Seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh pada zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat, tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah. orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para nabi dan Rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Akan tetapi, bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.



Menangis dan menangislah, tetapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan dalam agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total...! jadi, kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) bin 'Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w : "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajipan kepada Allah." (Riwayat at-Tirmizi)

**********************************************

No comments:

Post a Comment