Monday, July 11, 2011

Menangis yang dituntut syariat...


Assalamualaikum w.b.t...

Kata Ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi dengan tangis dan diakhiri dengan tangis.


Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini,menangis adalah dituntut. Setitis air mata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.


Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah daripada tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda : "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takabbur."
Anas r.a berkata : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu Baginda bersabda dalam khutbahnya: "Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata; Seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh pada zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat, tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah. orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para nabi dan Rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Akan tetapi, bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.



Menangis dan menangislah, tetapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan dalam agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total...! jadi, kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah (Shadujja) bin 'Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w : "Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajipan kepada Allah." (Riwayat at-Tirmizi)

**********************************************

Sunday, July 10, 2011

Tolong Beritahu Si Dia...






Tolong beritahu si dia...
Aku ada pesanan buatnya...


Tolong beritahu si dia...

Cinta yang agung adalah cinta-Nya...

Tolong beritahu si dia...

Cinta manusia bakal membuatnya alpa...


Tolong nasihati si dia...
Jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa... Tolong nasihati si dia...
jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa...

Tolong nasihati si dia...

jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya...


Tolong katakan pada si dia...

dahulukan Allah kerana di situ ada syurga...

Tolong katakan pada si dia...

dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya...



Tolong ingatkan si dia...
aku terpikat kerana imannya, bukan rupa...
Tolong ingatkan si dia...

aku lebih cintakan zuhudnya, bukan harta...
Tolong ingatkan si dia...
aku kasihinya kerana santunnya...
Tolong tegur si dia...
bila dia mula mengagungkan cinta manusia...
Tolong tegur si dia...
bila dia mula tenggelam dalam angan-angannya...
Tolong tegur si dia...
andai nafsu mengawal fikirannya...


Tolong sedarkan si dia...
aku milik Yang Maha Esa...
Tolong sedarkan si dia...
aku masih milik keluarga...
Tolong sedarkan si dia...
tanggungjawabnya besar pada keluarganya...

Tolong sabarkan si dia...
andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta... Tolong sabarkan si dia...
bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya...



Tolong pesan padanya...
aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya...

Tolong pesan padanya...
aku tak mahu menjadi punca kegagalannya...
Tolong pesan padanya...
aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya...

Tolong khabarkan pada si dia...

aku tak mahu melekakan dia...
Tolong khabarkan pada si dia...

aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya...
Tolong khabarkan pada si dia...
jadilah penyokong dalam kejayaanku...

Tolong sampaikan pada si dia...
aku mendambakan cinta suci yang terjaga...
Tolong sampaikan pada si dia...
cinta kerana Allah tidak ternilai harganya...
Tolong sampaikan pada si dia...
hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa...


Tolong sampaikan pada si dia...
kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

CINTA...
Lahirnya dari dua hati...
Hadirnya tanpa dipaksa...
Ya Allah Ya Tuhanku,
Telah datang padaku seorang insan yang mengetuk pintu hati... Sekiranya dia adalah jodohku yang terbaik...
Yang telah Engkau tetapkan buatku,
sejak dari kandungan ibuku lagi...
Maka,permudahkanlah urusanku,
permudahkanlah urusannya...

dan permudahkanlah urusan kami berdua...

Ya Allah...Ya Rahman...Ya Rahim...
Lindungilah imanku...
Lindungilah iman dia...

dan lindungilah iman kami berdua sepanjang perhubungan ini...


Cinta,
Karya indah sang Pencipta...
Dimulakan di syurga...
Dimasukkan dalam jiwa Adam dan Hawa...
Lalu dianak-pinakkan ke setiap jiwa dengan kadar berbeza...
Cinta sebenarnya tidak buta...
Cinta adalah sesuatu yang murni,luhur dan diperlukan

Yang buta adalah,bila cinta menguasai dirimu..

tanpa suatu pertimbangan...

Cinta,menyintai atau dicintai itu adalah lumrah
sifat kejadian manusia...

Hak untuk bercinta dan menerima
bergantung kepada individu itu sendiri...

Pilihan adalah terpulang kepada kita,

Jika pilihan berlandaskan agama, pasti hasilnya diberkati...
Dan sekiranya berlandaskan nafsu,
pasti akan terhumban ke lembah kehinaan...

Saturday, July 2, 2011

Kebaktian Yang Paling Dicintai Allah...


Assalamualaikum...

Berbakti kepada IBU BAPA itu adalah wajib (Fardhu ain di mana lebih utama daripada amalan fardhu kifayah). Ia lebih utama daripada :

1. Jihad fi sabilillah.
Abdullah ibnu Mas'ud berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang pekerjaan yang paling dicintai Allah, lalu Baginda menjawab, "Solat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa?" baginda menjawab, "Berbakti kepada orang tua." Aku betanya lagi, "Kemudia apa?" baginda menjawab, "Jihad di jalan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Urutan pada hadis-hadis ini menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua-dua orang tua itu lebih utama daripada jihad fi sabilillah.

2. Taat kepada isteri dan kawan.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Saiyidina Ali, "Apabila umatku melakukan 15 perbuatan ini, maka mereka akan ditimpa musibah yang besar. Salah satunya adalah seorang lelaki yang mentaati isterinya tapi menderhakai ibunya serta berbuat baik kepada temannya, namun bersikap buruk kepada ayahnya." (Riwayat Tirmizi)

Imam Ahmad dan Nasa'i meriwayatkan dari Aishah yang bertanya kepada nabi s.a.w, "Siapakah orang yang paling berhak atas diri seorang wanita?" Nabi s.a.w menjawab, "Suaminya," Aishah bertanya lagi, "Siapakah yang paling berhak ke atas diri seorang lelaki?" Nabi s.a.w menjawab, "Ibunya." (Riwayat Hakim)

3. Ibadah haji dan umrah.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Seorang hamba sahaya yang berbuat baik baginya dua pahala. Demi yang jiwa Abu Hurairah berada di dalam kekuasaan-Ny. Kalau buka kerana berjihad di jalan Allah, Haji dan berbakti kepada ibuku; sungguh aku lebih menyukai mati sebagai hamba sahaya."

Abu Hurairah r.a tidak pernah pergi haji sebelum ibunya meninggal dunia. Hal itu ia lakukan kerana besarnya penghormatan dan baktinya kepada ibunya.

4. Menziarahi Nabi s.a.w.
Ada seorang sahabat bernama Uwais al-Qarni yang tidak sempat berkunjung berjumpa nabi s.a.w semata-mata kerana sibuk mengurus ibunya. Walaupun tidak berjumpa tetapi Rasulullah s.a.w tetap mengenalinya. Malah baginda berpesan kepada Saiyidina Umar r.a agar mencari Uwais dan meminta Uwais berdoa untuknya. Ini kerana doa Uwais adalah mustajab.

Sabda Rasulullah s.a.w : "
Akan datang seorang bernama Uwais bersama sekelompok orang Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qarn. Dia pernah ditimpa penyakit kusta lalu dia sembuh darinya kecuali masih tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan dia sangat berbakti kepadanya. kalau dia bersumpah atas nama Allah pasti dia akan memenuhinya. Bila engkau dapat (berjumpanya) mintalah agar dia berdoa kepada Allah memohon keampunan untukmu. " (Riwayat Muslim)

Oleh sebab itu, setiap kali musim haji Saiyidina Umar sentiasa bertanyakan tentang Uwais daripada rombongan dari Yaman. Akhirnya beliau berjaya bertemu Uwais dan meminta doanya.

5. Mencintai anak.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari sebuah hadis dari Ibnu Umar r.a tentang tiga orang sahabat yang terperangkap dalam sebuah gua. sebungkah batu yang besar jatuh dari atas gunung telah menutup pintu gua tersebut. Setelah gagal menolak batu besar itu sebagai ikhtiar, mereka berpakat untuk berdoa kepada Allah dengan bertawassul pada amal masing-masing.

Diringkaskan cerita, salah seorang daripada mereka berdoa: :"Ya Allah, aku dahulu mempunyai orang tua dan aku selalu memberi mereka minum lebih dahulu daripada anak dan isteriku. Pada suatu hari setelah jauh mencari kayu api maka aku pulang larut malam. Aku siapkan minuman susu untuk orang tuaku namun mereka sudah tertidur. Aku menunggu mereka bangun sehingga terbit fajar, padahal anakku meratap di kakiku minta diberikan minuman susu itu. Setelah orang tuaku bangun, barulah aku beri mereka minum, lalu kemudiannya anak-anakku. Kalau memang apa yang aku lakukan itu untuk memohon redha-Mu Ya Allah, tolonglah kami keluar dari kesusahan ini."

Ternyata sikapnya mengutamakan orang tua daripada anak sendiri adalah tepat dan benar. Ini terbukti apabila Allah perkenankan batu tersebut bergerak sedikit, namun masih belum cukup maut untuk mereka keluar.

6. Solat sunat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a sebuah hadis panjang mengenai seorang pemuda Bani Israil bernama Juraij yang sangat taat beribadah. Tekunnya dia beribadah sehinggakan apabila ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap meneruskan solatnya tanpa menghiraukan panggilan ibunya. Ibunya terasa hati dan berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan biarkan dia mati sebelum berfikir tentang wanita-wanita nakal yang selalu melakukan perbuatan tercela."

Dipendekkan cerita, di akhir hayat Juraij difitnah melakukan zina dengan seorang wanita. Juraij dipukul dan rumah ibadahnya dirobohkan Bani Israil. Namun, dia akhirnya Allah selamatkan apabila bayi wanita itu dapat berkata-kata membela Juraij. Di akhir hadis tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya, jika Juraij mengetahui, nescaya dia akan menjawab panggilan ibunya."

Semoga daripada renungan yang diberikan ini, dapatlah kiranya kita sama-sama bermuhasabah atas apakah yang telah kita lakukan dan berikan pada kedua orang tua kita.



Wallahua'lam

**************************************