Saturday, January 23, 2010

Rintihanku Pada-Mu Ya Rabbi...


Ya Allah

Himpunan dosa-dosaku telah membawaku

untuk bergantung harap kepada-Mu...

Seringkali diri ini tertewas

dalam mujahdah mendidik diri...

Kau ikhlaskanlah hati ini

dalam melaksanakan amal islami ini...

Bukan perhatian manusia yang kuraih

namun tumpuan kecintaan dan pengabdian

kepada-Mu yang teramat kudambakan...

Pimpinlah daku dalam melayari hidup ini

Bantulah hamba-Mu ini

dalam meniti jalan mujahadah dan istiqamah...

Anugerahkanlah kepadaku cinta-Mu

dan cinta-cinta insan yang mencintai-Mu...

Ameen Ya Rabbal 'Alamin...

tabahlah, wahai ayah...

Assalamualaikum w.b.t..
Satu lagi coretan kisah dalam hidup ana. Panggilan dari ibu memberitahu ayah ana berada di hospital menyentap tangkai hati ana. Keadaannya kakinya semakin lemah pada waktu itu,sehingga tidak mampu berjalan. Sudah 3 hari berada di hospital, baru ana diberitahu berita ini. Semua ini atas permintaan ayah ana yang tidak mahu anak2nya risau. Terima kasih jua kuucapkan pada ibu yang tetap memberi perkhabaran ini.
Lalu, selepas tamat kelas jam 10 pagi td,ana terus pulang dan bersiap pulang ke kampung. Tepat jam 11.30 bas yang ana naiki mula meluncur di lebuhraya menuju ke destinasi. Sepanjang perjalanan, hanya ingatan terhadap ayahanda tercinta melintas di fikiran,lantas doa kutitipkan untuk kesejahteraannya. Jam 2 petang, dari terminal bas ana menuju ke hospital bersama ayah saudara ana.
Setibanya di hospital, kaki ana bergerak menuju ke wad 326. Melihat keadaan ayah pada ketika itu, sudah cukup membuatkan hati ana sebak. Semakin susut dan kelihatan lemah. Syukur dipanjatkan kerana dia masih mengenali ana. Menurut ayah suadara ana, ketika mula2 dimasukkan ke hospital, dia seperti tidak dapat mengingati dan mengenali orang yang datang menziarah, hatta adik beradiknya sendiri. Tambah hiba saat mendengar dia juga turut menitiskan air mata melihat keadaan ayah ana. Rupanya, penyakitnya turut memberi kesan pada ingatan serta penglihatannya. Air mata yang ingin jatuh, cuba ana tahan semahu-mahunya saat memapah ayah untuk berjalan.
Ayah, telah banyak jasamu terhadap ana, abang dan adik. Pengorbananmu mendidik,membesarkan dan berkorban masa dan tenaga mencari rezeki demi kemaslahatan hidup keluarga tidak dapat dibalas, walau dengan wang yang berjuta.Dalam keadaan dirimu yang tidak sihat, ayah masih sanggup menjaga atok yang juga sudah uzur. Keadaan dirimu tidak kauhiraukan demi menjalankan tanggungjawabmu sebagai anak. Ayah, maafkan ana kerana tidak dapat berada di sisi ayah,lantaran diri ana yang terikat dengan tanggungjawab ana di menara gading. Namun, tetap ana cuba mencari ruang yang ada memberikan sedikit khidmat, yang sudah semestinya tidak mungkin dapat dinilai dengan jasamu.
Ayah, kudoakan dikau tabah dan redha dalam mengahdapi ujian Allah ini. Sesungguhnya, Allah tidak akan membebankan hamba-Nya dengan dugaan yang tidak mampu ditanggung oleh kita. Segala dugaan yang diberikan untuk menguji keimanan dan ketakwaan kita pada-Nya, yang patut kita ingati bukan hanya ketika ditimpa musibah. Pada-Mu Ya Allah, kumohon agar diberikan kekuatan pada ayahku, diberi kesembuhan dan kesihatan yang baik padanya. Hanya pada-Mu, kumemohon. Ya Rabbal 'Alamin...


Father...

When I need real understanding,
When I need someone to care,
When I need someone to guide me

A FATHER is always there

Thank you Father,
For your comfort and encouragement,
Whic means so much to me,
In my way to growing up...

Wednesday, January 20, 2010

Sejadah Rindu...

Tersapaku..
Di sejadah rindu
Dalam kalimat-kalimat yang shahdu
Bait-bait kata menyentuh kalbu
Memecah kesunyian di hati yang beku
Terpendam rasa syukur padaMu...

Memandang ke langit biru
Mencongak keindahan kebesaranMu itu
Tersentuh di jiwa yang kaku
Ayat-ayat cinta disusun bersatu
Di sejadah rindu

Menadah tangan memohon restu
Perjalanan menuju destinasiMu
Moga tak terlupa masa yang akan berlalu
Pintu Hidayah dariMu
Untuk hambaMu yang menanti selalu

Thursday, January 14, 2010

Hanya aku yang tahu

cair segala gagah ku
menahan segala rasa selama ini
yang ku bina demi sebutir bintang
sengaja aku terbang tinggi sendirian
agar dia benci pada jeritan ku
agar dia muak dengan lagu ku
biar aku melompat lompat seperti gagak
melebarkan kepak-kepak ego
menghentak hentak rentak ku
semata mata untuk ku lepaskan diri mu
dari terus tersiksa dengan dunia ku yang nyata tidak adil buat mu
biar ku pendam sendirian dalam benak hati
betapa aku kecewa dengan sejarah ini
betapa aku tidak rela dengan irama ayu ku

hanya aku yang tahu
betapa jerih aku memapah helaian duka ini
yang semestinya bukan dari kehendak batin ku
untuk ku bernafas semula amatlah kelam
mengumpul satu per satu kekuatan
untuk kau membenci diri ini
semuanya hanya untuk melihat
keesokkan subuh kau diintai keindahan
agar kau dapat rasa erti kasih yang sejati
mendakap segala yang kau cari
setelah sekian lama ku berjanji
namun kau duka menanti
kerana aku yang tahu
hampa menaruh harapan
mengharap impian senyum dialis mata mu
dan setiap kali kecurangan janji bertaburan
hati ku duka terkenang wajah ayu mu
terpaksa akur pada kehendak janji lantas aku tidak mampu lagi
untuk terus sakitkan jalur jalur perasaan mu
aku akur...aku kalah untuk kali ini

ketahuilah...semuanya bukan mahu ku
perit yang ku taburkan pada mu
semata mata untuk kau benci pada ku
agar kau temui erti sebenar bahagia
yang tidak adil membelenggu hari mu
aku mahu kau bebas untuk hak diri mu
hak yang sememangnya kepunyaan mu
namun dalam diri ini
telah kusimpan 'dalam hati ku satu ruang untuk kau bermain selamanya'
aku rindu........

InsyaAllah,we'll be there!

Assalamualaikum w.b.t

13 Januari 2010 yang lalu, ana bersama-sama dengan ahli majlis tertinggi Kelab Rakan Pustaka telah menerima kunjungan ukhwah daripada Friends of Information Resources Centre (FIRC) UPM. Kunjungan mereka ke Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI ini merupakan sebuah lawatan ilmiah dalam mencari dan berkongsi idea-idea yang dapat digunakan bagi menguruskan dan melaksana program dan aktiviti kelab serta perpustakaan.



rombongan seramai 22 orang itu sampai di perkarangan perpustakaan pada jam 10.15 pagi. seterusnya, ana dan rakan-rakan mengiringi mereka ke bilik mesyuarat utama di aras 4 perpustakaan. Agenda pada hari itu diisi dengan slot pengenalan kepada Perpustakaan Tuanku Bainun dan juga Kelab Rakan Pustaka, seterusnya kepada pengenalan kepada FIRC. Tidak ketinggalan juga,sesi ta'aruf di antara AJK tertinggi kelab kami dan juga FIRC.




hasil daripada pembentangan dan sesi diskusi tersebut, diakui banyak pengetahuan serta idea-idea baru yang dapat kami kongsi bersama. Apa yang menarik bagi ana ialah Karnival yang bakal mereka adakan pada 21-25 Februari ini. Karnival ini di samping bertujuan merapatkan jalinan ukhwah dengan sahabat dari IPTA yang lain dilihat sebagai salah satu alternatif terbaik bagi menarik minat pelajar untuk mendekati perpustakaan yang sememangnya kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan. Ana tidak pernah lupa dengan kata-kata salah seorang pensyarah ana, perpustakaan ibarat rumah keduanya.

Perjalanan program mereka juga sangat menarik. Terpegun ana tatkala mendengar apa yang disampaikan oleh Pengarah Projek tersebut. Tokoh yang dijemput khas dalam sesi bual bicara juga bukan calan-calang orangnya seperti datuk Syeikh Muzaffar Syukor, angkasawan negara, Dato' Tony Fernandes iaitu CEO Air Asia dan beberapa orang lagi. Banyak juga aktiviti yang mereka adakan antaranya pertandingan catur,di mana pemenangnya akan disenaraikan dalam ranking Malaysia!menarik bukan? Word Wits bagi mereka yang berbakat dalam penghasilan cerpen, Tayangan Filem, permainan tradisional, serta pameran.

Barisan MT Kelab Rakan Pustaka UPSI & FIRC UTP

Rasa kagum menyelinap dalam diri ana kerana baru setahun jagung penubuhan kelab mereka, namun mereka berjaya dan mampu untuk melaksanakan program sebegini. Tahniah ana ucapkan. Harapan ana agar kami dapat terus mengekalkan ikatan ukhwah dan jalinan kerjasama ini dalam memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti kelab masing-masing. Apa yang pasti, semua rakan-rakan ana seperti mendapat semangat yang baru! Alhamdulillah...perkembangan positif..=) Dan insyaAllah, kami akan cuba membalas lawatan yang telah mereka adakan. Dengar khabar juga pelajar dari IPTA lain juga dijemput. Mungkin ini akan menjadi platform untuk kita berkongsi dan saling bertukar idea dan pendapat. InsyaAllah,we'll be there...=)



Sunday, January 10, 2010

Tokoh Unggul

Assalamualaikum w.b.t...

Sebagai perkongsian ilmu bersama, di sini merupakan beberapa contoh tokoh-tokoh unggul yang pernah dilahirkan pada zaman Rasulullah S.A.W. Mereka merupakan sahabat Rasulullah s.a.w dan ada di antara mereka merupakan khalifah di zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Jika kita menghayati dan meneliti kehidupan para sahabat Baginda, nescaya kita akan mendapati setiap daripada mereka memiliki profesion serta kepakaran dalam bidang masing-masing. Keunggulan para sahabat ini menjadi bukti dan lambang keagungan Islam di mata dunia.
  • Abu Bakar Al-Siddiq

Memiliki kekayaan yang melimpah. Namun beliau juga tampil menjadi khalifah dan pemimpin yang berwibawa dengan membawa keadilan, zuhud, ikhlas dan jujur.

  • Umar Al-Khattab

Tinggi semangatnya di sisi Allah s.w.t. Tegas di hadapan musuhnya, adil dalam memutuskan hukuman.

  • Uthman Al-Affan

Peribadi yang sangat lemah lembut. Ahli dalam melaksanakan solat tahajud dan gemar berinfak. Beliau juga pemalu dan lembut hatinya.

  • Ali Karamallahu Wajhah

Wira yang sangat perkasa. Berani dan pemidato yang sangat mendalami ilmu agama.

  • Ubai

Pemimpin para penghafaz Al-Quran

  • Muadz

Imam para ulama

  • Khalid

Lambang kepahlawanan

  • Ibn Abbas

Penterjemah Al-Quran

  • Hassan

Ketua para penyair

  • Zaid Bin Tsabit

Orang yang paling terkehadapan dalam bidang faraid.

  • Abu Hurairah

Pemimpin dan pakar dalam bidang hadis.

Inilah antara Tokoh-tokoh Islam yang unggul yang boleh kita contohi dalam meningkatkan motivasi dan dalam megkoreksi diri kita ke arah yang lebih baik. Tiada yang mustahil dalam hidup ini jika kita sentiasa berusaha dan seterusnya bertawakkal kepada Allah. Wallahua'lam

Thursday, January 7, 2010

Kau pergi jua...

Assamualaikum w.b.t buat sahabat sekalian

Syukur ana panjatkan pada yang Maha Pencipta , Allah Tuhan yang satu kerana telah memberi peluang pada diri ini untuk bernafas dan melalui kehidupan di dunia yang sementara ini. Semakin bersyukur apabila masih diberi peluang menikmati kehidupan di tahun yang baru.

Namun, dalam kegembiraan dan kelelahan mengharungi kehidupan ini tidak ana jangka akan kehilangan insan yang ana sayangi. Seorang insan yang telah banyak berjasa dan berkorban masa dan tenaga menjaga ana adik beradik dengan curahan kasih sayangnya.

Tanggal 6 januari 2010 bersamaan 20 Muharram 1431 Hijrah , ana telah kehilangan nenekanda ana, Hajah Aishah binti Hj. Abdul Manas. Ana mendapat khabar pemergiannya ini daripada ibu ana melalui panggilan telefon kerana pada ketika itu ana berada di kediaman ana di kampus. Tidak dapat ana ungkapkan bagaimana perasaan ana ketika itu. Terlalu sedih ana dengan kehilangannya. Sehingga ke hari ini, ana mesih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Namun, walau apa pun, ana sekeluarga redha dengan pemergiannya. Sesungguhhnya, kita di dunia hanyalah sebagai tempat persinggahan mencari bekalan sebelum pulang ke akhirat yang kekal abadi. Hidup kita di dunia ini telah ditetapkan oleh Allah. Sampai masanya kita akan kembali kepada-Nya. Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya jua kita pasti pulang.

Cuma ana sedih kerana tidak dapat berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Apatah lagi mendengar cerita ibu dimana sebelum arwah meninggal, dia sempat bertanya tentang ana dan adik saudara ana yang masih tidak ada di situ waktu itu. Arwah pada ana ibarat ibu kedua ana. Sejak dari kecil, ana dijaga dan diasuh olehnya apabila ibu dan ayah ana bekerja. Sehingga kini, apabila pulang bercuti ana akan ambil kesempatan tidur di rumahnya. kali terakhir ana berjumpa dengan opah ana iaitu hari ana ingin pulang ke kampus. Ketika ana mencium pipinya, arwah menitiskan air mata. Ana berasa hairan waktu itu, namun kini bila diingat kembali, hati ana betul-betul sebak.



Yang lebih ana risaukan dan bimbangkan ialah keadaan atok ana yang kini tinggal sendirian di rumah. Memikirkan dirinya yang juga kurang sihat, membuatkan ana kerap menitiskan air mata. Begitu murah rasanya air mata ini jatuh ke pipi. Walaupun rumah ana hanya bersebelahan, namun ana tahu atok ana tidak mungkin mahu meninggalkan rumahnya itu. Bagaimana dengan tidur malamnya? Jika dahulu ada teman bergurau, bergaduh, tapi kini...Ketika menggosok dan mengurut kakinya yang kebas semalam, kelopak mata ana sudah tidak mampu menampung air mata yang ingin jatuh saat itu. Namun ana tahan jua tak mahu dilihat olehnya. Biarpun nampak tabah, tetapi adakala dapat dilihat dia menyeka air matanya yang menitis.

Di sebalik semua kesedihan itu, ana tetap bersyukur dan berasa tenang tatkala menatap wajah arwah opah buat kali terakhir. Wajahnya cukup bersih dan tenang. Lagaknya seolah-olah sedang tidur dengan nyenyak.Tidak berubah sedikitpun. Ya Allah, kami redha dan lepaskan arwah pergi menemuimu Ya Allah. Doa kami sekeluarga, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Buat opah, terima kasih di atas segala jasa,pengorbanan dan kasih sayang yang telah opah berikan. Kami menyayangimu dan akan merinduimu hingga akhir hayat...



Sunday, January 3, 2010

Khusyuk...apa sebenarnya??

assalamualaikum w.b.t...salam pertemuan buat sahabat ana sekalian...
kali ini,ana ingin berkongsi sedikit tentang erti khusyuk. acapkali kita dengar perkataan ini, yang sering kita kaitkan dengan solat dan ibadah yg lain. Di sini,ana sekadar ingin berkongsi apa itu yang dikatakan khusyuk menurut pandangan ulama.wallahua'lam..
  • Ibnu Abbas

Khusyuk itu maknanya orang yang takut dan tenang anggota badan (anggota badan dan hatinya)

  • Saiyidina Ali ibni Abi Talib

Khusyuk itu adalah khusyuk hati. Maksudnya khusyuk itu tempatnya di dalam hati dan yang mesti khusyuk adalah hati itu sendiri.

  • Imam Ibnu Kasir

Khusyuk di dalam solat itu dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk bersolat dan menghindari soal-soal yang lain iaitu dengan mengutamakan solat dari hal-hal dunia. Dengan itu, solat akan menjadi kecintaan dan kesenangan hati.

  • Ibnu 'Araby (Ahkamul Quran)

Khusyuk ialah tunduk merendah dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT

  • Syeikh Tantawi Jauhari

Khusyuk itu ertinya merendahkan diri dan tunduk, tidak berpaling kanan kiri, tidak menggerakkan tangan semasa solat. Hanya memusatkan kemahuan (himmahnya) yakin hati kepada Allah SWT. Dan merenungkan maksdunya, dari apa yang diucapkan iaitu bacaan, zikir serta doa.

  • As-Syahid Sayyid Qutub (Tafsir Fi Zilalil-Quran)

Khusyuk itu maknanya hati orang yang bersolat itu berasa gentar dan takut di hadapan Allah hingga lahir ketengangan dan kekhusyukan. Lalu khusyuk yang ada di dalam itu menjalar kepada anggota badan. Terbayang pada paras muka dan nampak pada gerak geri solat. Hilang gangguan dalam fikiran dan tidak terganggu oleh persoalan dunia.

  • Imam Malik

Khusyuk itu maknanya menghadap dengan penuh pehatian ke atas solat itu.

  • Imam As-Shafi'e

Khusyuk itu ialah orang yang bersembahyang itu haruslah menitikberatkan pandangan matanya di tempat sujudnya, sebab itu lebih menghadirkan dan memusatkan fikirannya.

  • Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali

Khusyuk ataupun ingat kepada Allah di dalam solat itu wajib hukumnya berdasarkan pengertian ayat : "...dan dirikan solat itu untuk mengingati-Ku." (Taha:14)

ANIS (jan 2010)